Wednesday, September 11, 2024

Kisah aku di Family Mart: Menyelami Rindu yang Tersembunyi

A Cradle That Never Held My Baby



Semalam… aku singgah di Family Mart Jelatang. Dalam kekalutan mencari barang, aku tidak sengaja melanggar bahu seseorang. Dia menoleh ke arahku dengan raut marah. Aku segera mengucapkan maaf sambil tersenyum, namun dia hanya merengus sambil mengusap perutnya yang membesar, suaminya di sebelah turut memandangku dengan tatapan seolah-olah aku adalah pesalah. Aku tahu dia sedang mengandung, tetapi sikapnya begitu kasar.


Hati ini terasa hancur melihatnya. Andai anakku masih ada di dalam rahimku hari ini, perutku pasti sudah membesar seperti itu juga, menunggu hari. Dan sudah tentu, bayi ku akan lahir pada bulan Oktober ini…


Rasa sakit ini semakin menyakitkan. Kenapa dia perlu mencebik seolah-olah aku patut merasa bersalah? Seharusnya, sebagai bakal ibu, dia sepatutnya berasa bahagia sama seperti aku pernah merasakan kehadiran seseorang di dalam rahimku. Entah mengapa, wajahnya yang mencebik marah itu membuatkan hati ini semakin terluka. Tapi aku doakan kau baik-baik saja, wahai bakal ibu. Aku mungkin tidak pernah merasai saiz perutku membesar seperti itu, kerana kedua anakku pergi sebelum sempat aku memeluk mereka. Jarinya terlalu halus untuk kulihat dan belahan tangannya terlalu kecil. Perutku mungkin tidak besar untuk kuusap, tetapi aku ikhlas mendoakanmu, ibu. Semoga kau selamat dan baik-baik sahaja.


Hari ini, aku menangis sepuasnya. Baru kini aku sedar, aku belum benar-benar menangisi anak syurga ku yang kedua. Kerana semua orang menyuruhku sabar, tabah, dan redha. Kamu semua menyuruhku melepaskan dia dengan hati yang terbuka dan tidak meratapi pemergiannya. Namun, aku belum sempat menangis. Aku belum sempat merintih dan merindui kehadiranmu, sayang. Maafkan mummy… Insya-Allah, tunggu kami di syurga ya. Kedua-dua kamu sangat nakal, membuat mummy dan daddy berharap tetapi tidak pernah muncul di dunia ini. Maafkan mummy kerana tidak pernah menangisi pemergianmu. Mummy fikir mummy cukup kuat untuk tidak menumpahkan setitik pun air mata, tetapi sebenarnya, mummy juga seorang wanita yang lemah. Dan hari ini, air mata ini adalah untukmu.


Kepada semua… aku tahu aku belum benar-benar merasai beratnya ujian menjadi ibu dan bapa. Aku mungkin tidak tahu bagaimana menguruskan mereka kerana mereka pergi ketika aku sedang bersiap untuk menyambut mereka ke dunia. Ya, aku tidak tahu bagaimana membesarkan anak, menggunakan ilmu parenting, atau merawat mereka ketika sakit. Aku tidak pasti bagaimana rasanya melihat anak membesar.


Namun, satu perkara yang pasti, aku benar-benar memahami rasa kehilangan anak. Aku tahu bagaimana rasanya melihat anakku tidak bernyawa dan tidak bergerak dalam rahimku. Aku merasai setiap detik ketika menyaksikan anakku dimandikan dan dikuburkan. Aku juga tahu betapa pedihnya ingin menyentuh jasad mereka, namun merasa gentar kerana mereka terlalu kecil untuk kupegang, takut jika aku akan menyakiti tubuh kecil itu. Aku hanya mahu mereka sentiasa dalam keadaan sempurna di dalam kubur kecil itu.


Dan aku tahu, mungkin ada yang berkata… aku hanya melihat mereka pergi sebelum sempat hidup di dunia ini. Kamu mungkin akan berkata ibu yang kehilangan anak yang sudah dibesarkan itu lebih hebat, lalu kau katakan aku tidak layak untuk meratapi kehilangan ini? Tidak layak untuk menangis kerana tidak pernah melihat mereka hidup? Tahukah kamu betapa sedihnya aku kerana tidak tahu bagaimana wajah mereka seandainya mereka lahir? Bagaimana suara mereka jika mereka menangis, kerana mereka tidak pernah menangis… Betapa sukarnya merindukan mereka kerana aku hanya mampu mengingati rasa hadirnya mereka berada di dalam rahimku, tanpa wajah yang boleh diingati, tanpa suara yang boleh kukenangi.


Kesedihan ini tidak pernah berhenti, kerana apa yang hilang dariku adalah bukan sekadar sebuah kehidupan, tetapi sebuah harapan, sebuah cinta yang tidak pernah sempat kusentuh. Dan di sebalik semua itu, aku hanya berdoa agar mereka tenang di sana, dan aku akan terus mencintai mereka, walau di manapun mereka berada.


With a heart full of memories,

' Ain




4 comments:

  1. Hidup ini keras ...perlu ketabahan, kesabaran dan ketenangan dalam setiap perkara

    ReplyDelete
  2. Semoga yang berat di hati u adalah syurga yang paling indah Allah sediakan untuk you nanti. Semoga setiap titis air mata u Allah gantikan dengan kedamaian dan ketenangan yang tak mungkin dibeli dengan emas segunung pun. i sedih tengok gamba cardle ade bunga tu :"(

    ReplyDelete
  3. Ain... Semoga setiap titis air mata Allah gantikan dengan ketenangan yang tak mungkin terbeli dengan emas segunung pun. Semoga Allah sediakan you syurga yang indah untuk bersama anak anak you nanti :")

    ReplyDelete
  4. Tak apa kakak... Menangis saja. Sampai hati terasa lega dan semua beban seolah terangkat. Jangan dipendam, Krn itu hanya akan buat kakak sakit nanti. Setelah lega, barulah hati lebih mudah untuk menerima dan ikhlas dengan semua ketentuan Nya. Krn saya pernah di posisi kakak . Tahu sedihnya seperti apa 🤗🤗. Apapun, semua ketentuan Dia selalu ada hikmah untuk kita. Mungkin sekarang kita tak paham hikmahnya, tapi suatu saat kita akan tahu 🤗. Apapun semoga yg terbaik nantinya untuk kakak yaa ❤️

    ReplyDelete