About Us

Sunday, April 10, 2011

Lima maut kereta bertembung lori


Oleh Safeek Affendy Razali dan Safuri Kamarudin

bhnews@bharian.com.my

2011/04/10

 ANGGOTA bomba dan penyelamat cuba mengeluarkan mayat     Mohd Farid  (gambar kecil) yang maut dalam nahas di Kilometer 40, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Ladang Gapi, pagi semalam.
ANGGOTA bomba dan penyelamat cuba mengeluarkan mayat Mohd Farid (gambar kecil) yang maut dalam nahas di Kilometer 40, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Ladang Gapi, pagi semalam.

KUALA LUMPUR: Lima beranak daripada dua keluarga maut dalam nahas jalan raya berasingan di Serendah, Selangor dan Baling, Kedah, pagi semalam.
Dalam kejadian pertama di Serendah, tiga beranak termasuk kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, terkorban apabila kereta Proton Satria dinaiki mereka dirempuh sebuah lori yang membawa muatan batu-bata di Kilometer 40, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Ladang Gapi, kira-kira jam 6.30 pagi.
Mangsa dikenal Mohd Farid Idris, 29; isterinya, Eirlenna Asrani, 28, dan anak mereka, Muhammad Faiz Hakimi, empat tahun. 

Kemalangan berlaku ketika Mohd Farid dan Eirlenna dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Cheras selepas mengambil anak tunggal mereka, Muhammad Faiz yang ditinggalkan di rumah ibu Farid di Kampar, Perak sejak seminggu lalu. 

Ketika melalui jalan lama Kuala Lumpur-Ipoh, kereta dipandu Farid yang bertugas sebagai pembantu perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dilaporkan dirempuh sebuah lori dari arah bertentangan sebelum diseret sejauh 70 meter lalu terhumban ke dalam gaung tidak jauh dari simpang Ladang Gapi, Serendah. 

Kereta mangsa kemudian dihempap lori terbabit ketika jatuh ke dalam gaung sedalam dua meter. Berikutan itu, tiga beranak itu tersepit dan saling bertindih dalam kereta yang remuk. 
Ketua Polis Daerah Kuala Kubu Baru, Superintendan Norel Azmi Yahya ketika mengesahkan kejadian itu berkata, polis dengan bantuan dua jentera dari Balai Bomba Kuala Kubu Baru mengambil masa lebih dua jam bagi mengeluarkan mayat ketiga-tiga beranak itu. 

Manakala pemandu lori, Duraisingam Karuppiah, 40, menyerah diri di Balai Polis Kuala Kubu Baru dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Dalam nahas kedua di Baling, seorang bapa dan anak berusia dua tahun maut, manakala isterinya parah selepas kereta dinaiki bertembung sebuah lori di Jalan Simpang Empat Telok Pendiat-Carok Nau di sini, kira-kira jam 10.30 pagi semalam. 

Mangsa terbunuh ialah Yahaya Md Daud, 39, dan anaknya, Mohamad Fahin Afdal Yahaya, dua tahun. Manakala isterinya, Rusnani Abu Bakar, 30, cedera parah. Kemalangan itu berlaku ketika keluarga terbabit dikatakan sedang dalam perjalanan ke Hospital Baling untuk mengambil ubat asma Mohamad Fahin Afdal. 

Kereta jenis Proton Wira dipandu Yahaya yang juga Pegawai Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang dikatakan bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan. 

Lori itu dipercayai terbabas ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang dikatakan memotong secara tiba-tiba dalam kejadian jam 10.30 pagi itu. 

Akibat rempuhan itu, anak mangsa, Mohamad Fahin yang dipangku ibu, Rusnani Abu Bakar, 30, di bahagian depan tempat duduk penumpang mati di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala dan badan. 

Manakala, Yahaya yang tersepit di tempat duduk pemandu, cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Baling sebelum meninggal dunia kira-kira jam 1.30 petang, semalam. 




Notakaki: Hati hati semasa memandu. Banyak kes yang melibatkan lori sekarang. 

No comments:

Post a Comment